Monday, September 10, 2007

SKIM MIKRO

Skim Mikro Kredit tawar pinjaman serendah RM500
Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID

MELAKA 10 Sept. – Bagi mereka yang berminat memulakan perniagaan tetapi ketiadaan modal, kini tidak perlu bimbang kerana Bank Negara Malaysia (BNM) bakal memperkenalkan pembiayaan kewangan mikro kredit, bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, skim mikro kredit itu menawarkan pinjaman antara RM500 hingga RM50,000 khusus untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan akan mengumumkan institusi kewangan yang dilantik BNM dalam menyediakan pembiayaan pinjaman mikro kredit itu.

‘‘Di bawah skim ini, mana-mana PKS yang sebelum ini tidak mendapat pinjaman kewangan akan dibantu dan diberi pinjaman menerusi bank-bank yang dilantik oleh BNM,” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog antara BNM dengan pelbagai agensi kerajaan dan individu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Pada Mac 2003, kerajaan menubuhkan dana sebanyak RM1 bilion di bawah skim mikro kredit khusus untuk membantu golongan usahawan kecil menjalankan perniagaan mereka, selain menangani kegiatan ceti haram yang menjadikan peniaga kecil sebagai mangsa.

Dr. Zeti juga berkata, keadaan ekonomi negara suku kedua menunjukkan prestasi memberangsangkan berbanding suku pertama tahun ini. ‘‘Pertumbuhan ini didorong oleh aktiviti sektor swasta yang terus berdaya tahan dan disokong oleh peningkatan perbelanjaan sektor awam, katanya.

Katanya, hanya keadaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) ketika ini yang tidak menentu dikhuatiri boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara, berikutan hubungan dagangan yang erat antara kedua-dua negara.

‘‘Jika ekonomi AS terjejas, ia sekali gus turut memberi kesan kepada ekonomi Malaysia melalui hubungan dagang.

‘‘ Malah, ketika ini, negara itu juga belum pasti kedudukan sebenar ekonomi negara mereka,” katanya.

No comments: